Setahun hilang, isteri harap Pastor Koh kembali untuk Tahun Baru Cina

13th Feb 2018


PETALING JAYA: Isteri Raymond Koh hari ini mempersoal tuduhan menculik yang dikenakan terhadap bekas pemandu Uber sambilan, tepat setahun lalu pada hari suaminya hilang diculik sekumpulan lelaki di Petaling Jaya.

Susanna Liew berkata keluarganya “sangat terkejut” apabila siasatan awam dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kes suaminya digantung, selepas polis mengumumkan Lam Chang Nam dituduh menculik Koh.

“Mengapa dia dituduh menculik sekarang, selepas beberapa bulan dan hanya sehari sebelum siasatan itu bermula semula?

“Jika dia benar-benar terlibat, dia patut tahu di mana Koh sekarang. Bebaskannya dan biarkan pesalah diberkas dan keadilan ditegakkan.”

Pada 16 Januari, Suhakam menghentikan siasatan awam ke atas kehilangan Koh, susulan penahanan seorang suspek minggu sebelumnya, dan berdasarkan peruntukan iaitu isi siasatan itu tidak harus menjadi sebahagian daripada mana-mana prosiding mahkamah.

Lam pernah didakwa di mahkamah pada 15 Mac tahun lalu, atas tuduhan memeras ugut anak lelaki Koh berusia 33 tahun, Jonathan Koh Szu Hao dengan meminta wang RM30,000 untuk membebaskan bapanya. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Peguam keluarganya mempersoal tindakan menuduh Lam selepas dia disahkan polis tidak terlibat dalam penculikan itu.

Liew berkata keluarga itu berharap ada kes mahkamah yang tidak berlarutan “untuk tempoh tidak pasti”, dan beliau menzahirkan kekecewaan terhadap ketiadaan maklumat berkenaan kehilangan suaminya.

“Kami langsung tidak diberitahu apa-apa,” katanya.

“Walaupun dikecewakan beberapa kali, kami masih berharap ada polis terus bekerja dengan integriti dan profesionalisme dalam membawa penjenayah ke muka pengadilan.”

Liew masih berharap suaminya dibebaskan daripada penculikan agar dapat dipertemukan pada Tahun Baharu Cina ini.

“Ibunya sakit dan sudah setahun tidak berjumpanya ,” katanya.

Siasatan Suhakam yang akan disambung bulan depan, adalah untuk menyiasat sama ada kehilangan Koh dan 3 lain, Pastor Joshua Hilmy, isterinya Ruth dan aktivis Perlis, Amri Che Mat, adalah kes kehilangan paksa sebagaimana ditakrifkan oleh Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempersoal siasatan polis ke atas kehilangan Koh, menngatakan sudah setahun berlalu dan beliau masih hilang.

“Unit risikan polis kita dikatakan antara terbaik di dunia tetapi setahun selepas seorang rakyat Malaysia diculik dengan cara menakutkan pada siang hari di tengah-tengah bandar, kes itu masih belum selesai.

“Dan kes kehilangan individu lain juga timbul selepas penculikan Koh,” katanya dalam satu kenyataan.

“Jika kejadian seperti itu boleh berlaku kepada individu tidak membahayakan dan pemurah seperti Koh, ia boleh berlaku kepada sesiapa pun.”

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, ketika beliau memandu keretanya ke rumah rakan di Kelana Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan sekurang-kurangnya 3 SUV hitam terlibat dalam penculikan itu. Ramai berspekulasi penculikan itu ada kaitan dengan cubaan menyebarkan agama Kristian, walaupun keluarganya menafikan dakwaan itu.

Find the article here:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/13/setahun-hilang-isteri-harap-pastor-koh-kembali-untuk-tahun-baru-cina/