
Sebutan semula kes culik Pastor Koh esok
26th Feb 2018
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menetapkan esok untuk sebutan semula kes seorang pemandu Uber yang didakwa menculik seorang pastor, Februari tahun lalu.
Majistret Nurshahirah Abdul Salim menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin dalam prosiding sebutan kes berkenaan.
Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon kes culik itu disebut bersama kes peras ugut oleh tertuduh sama terhadap anak pastor itu.
Pada 15 Jan lalu, Lam Chang Nam, 32, bersama tujuh orang lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah melarikan Pastor Raymond Koh atau nama sebenarnya Keng Joo Koh, 64, untuk tujuan mengurung mangsa dengan sulit dan salah pada jam 10.45 pagi, di tepi jalan besar, Jalan SS4B/10A, Kelana Jaya, di sini, pada 13 Februari 2017.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang paderi diculik pada pagi 13 Februari tabun lalu ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya.
Link to article found here:
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/393142/sebutan-semula-kes-culik-pastor-koh-esok