
Polis minta maaf kepada peguam keluarga Pastor Koh
15th Nov 2017
KUALA LUMPUR: Seorang pemerhati polis hari ini memohon maaf kepada pasukan peguam keluarga Pastor Raymond Koh kerana menuduh mereka menggunakan gambar bukti “cut and paste”.
ASP Nuzulan Mohd Din dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman, sebelum itu mendakwa pasukan peguam keluarga mangsa mengelirukan panel siasatan awam dengan mengemukakan gambar bukti berbeza yang diambil daripada www.beritaharian.sg pada 3 November lalu.
Beliau berkata, gambar yang dikemukakan beliau dan pasukan peguam itu mengandungi perbezaan dari segi tulisan dan lambang polis.
“Kami memandang serius (pasukan) peguam kelirukan bahan bukti, yang mana merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan.
“PDRM akan ambil tindakan selanjutnya ke atas dokumen dikemukakan peguam. PDRM juga memohon gambar (bukti itu) dipadam dan keterangan saksi ditarik balik,” katanya di depan panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Koh dan 3 yang lain.
Panel siasatan awam itu dianggotai 3 pesuruhjayanya, Datuk Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh serta dipengerusikan Datuk Mah Weng Kwai.
Peguam keluarga Koh, Datuk Jerald Gomez menyangkal dakwaan Nuzulan dan meminta beliau melihat galeri gambar dalam laman web, di mana gambar itu diambil.
“Sesiapa yang melayari laman web itu boleh mengenal pasti terdapat 2 gambar. Ianya bukan ‘cut and paste’.”
Panel siasatan awam kemudiannya memanggil kedua-dua pihak untuk menyelesaikan pertikaian itu.
Mah berkata, laman web itu memang mempunyai 2 gambar dan tidak wujud unsur “cut and paste”, oleh itu beliau meminta polis menerima keputusan berkenaan.
Siasatan awam itu memasuki hari ke-8 hari ini dan akan bersambung esok.
Link ke atrikel: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/15/polis-minta-maaf-kepada-peguam-keluarga-pastor-koh/