
Perlis Hope tidak terlibat dengan aktiviti Syiah, kata polis kepada Suhakam
26th Jun 2018
ORGANISASI Perlis Hope yang diasaskan oleh aktivis yang hilang, Amri Che Mat tidak terlibat dengan sebarang elemen yang merancang untuk mengganggu keharmonian, inkuiri Suhakam didengar hari ini.
Pegawai Cawangan Khas ASP Razman Ramli memberitahu Suhakam bahawa tidak wujud bukti yang menunjukkan kumpulan masyarakat sivil itu mengancam keselamatan negara.
“Tiada bukti yang (Perlis Hope) mempengaruhi orang ramai (dalam aktiviti Syiah),” katanya di ibu pejabat Suhakam.
Razman yang juga pegawai E2 Cawangan Khas, menjawab pertanyaan peguam keluarga Amri, Philip Koh sama ada Amri memiliki apa-apa senjata atau mengancam keselamatan negara.
Pada awal tahun ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata Jabatan Mufti Perlis menyiasat Amri kerana disyaki terbabit dengan ajaran Syiah.
Norhayati berkata beliau bimbang dengan kenyataan di Facebook yang dimuat naik oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin.
Katanya, Mohd Asri memuat naik kenyataan masyarakat Perlis perlu berhati-hati dengan Perlis Hope.
Perlis Hope ditubuhkan pada Oktober 2015 bagi membantu golongan miskin dan memerlukan.
Pesuruhjaya Suhakam Dr Aishah Bidin turut bertanya kepada Razman sekiranya beliau mempunyai bukti Amri terlibat dalam mencetuskan kekacauan di negeri itu.
Razman berkata tiada bukti untuk menyokong dakwaan berkenaan.
Aishah kemudian bertanya sekiranya terdapat perkembangan dalam kes Amri sejak kehilangannya.
Razman menjawab secara negatif, dan menambah mereka bukan hanya menumpukan kepada kes Amri sahaja tetapi juga kes lain.
“Sejak kehilangannya, tiada sebarang perkembangan.”
Razman dipanggil oleh suruhanjaya itu berikutan dakwaan Norhayati bahawa beliau dan bekas ketua polis Perlis Ab Rashid mempunyai maklumat mengenai penglibatan Bukit Aman dalam kehilangan suaminya dan juga Pastor Raymond Koh.
Norhayati sebelum ini berkata, pegawai Cawangan Khas, Sarjan Shamzaini Mohd Daud dari Perlis, memberitahunya bahawa suaminya di bawah pengawasan polis sebelum hilang.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November, 2016. Beliau dipercayai diculik oleh sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda yang bertidak mengepung keretanya di Kampung Padang Behor.
Koh diculik pada 13 Februari tahun lalu oleh beberapa individu bertopeng menaiki kenderaan SUV hitam untuk menghalang keretanya di Petaling Jaya.
Suhakam menjalankan siasatan awam berubung kehiangan Amri, Koh dan Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth, untuk menentukan sama ada ia adalah kes kehilangan paksa. – 26 Jun, 2018
Link to article found here:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/57070