Penyiasat tak pasti jika Pastor Koh kini dalam tahanan polis

15th Nov 2017


KUALA LUMPUR: Polis hari ini tidak menolak kemungkinan Pastor Raymond Koh kini berada dalam tahanan mereka.

ASP Supari Muhammad, pegawai penyiasat (IO) yang bertanggungjawab terhadap kes penculikan Koh berkata, beliau tidak pasti jika penceramah Kristian yang hilang itu kini berada dalam tahanan polis.

Peguam keluarga Koh, Steven Thiru, bertanya kepadanya: “Anda kata anda tidak pasti peranan jabatan polis yang lain dalam kes ini, bolehkah anda memberitahu saya dengan pasti jika Pastor Koh kini dalam tahanan polis?

Supari berkata tidak pasti.

“Saya tidak pasti tetapi setakat yang saya tahu, tidak. Saya tidak pasti,” katanya pada hari ke-9 siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan Koh.

Pesuruhjaya Suhakam yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai bertanya jika Supari mengetahui melalui siasatannya dalam kes itu, sama ada Koh meninggalkan negara ini atau masih hidup.

“Saya tidak tahu,” kata Supari.

Mah kemudian merujuk kepada komen yang dikaitkan dengan bekas ketua polis negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai 3 kemungkinan dalam penculikan Koh.

“Bekas KPN menyenaraikan 3 kemungkinan iaitu dijadikan tebusan, tindakan ekstremis atau atas sebab peribadi. Mana antara ketiga-tiga itu yang anda fikir lebih cenderung dalam kes ini?” tanya Mah.

Supari berkata penculikan Koh mungkin disebabkan aktiviti pelampau.

Walaupun Supari dibebaskan sebagai saksi pada siasatan selepas 4 hari memberi keterangan, beliau masih boleh dipanggil balik jika diperlukan.

Panel siasatan awam itu dianggotai oleh Mah, Pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Siasatan Suhakam bagi menentukan sama ada kes kehilangan Koh, aktivis sosial Perlis Amri Che Mat, paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, adalah kes kehilangan paksa, seperti yang ditakrifkan bawah Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa.

Koh, diculik individu bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.

Rakaman video insiden menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih daripada 10 individu dan 7 buah kenderaan di siang hari.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November lepas.

Isterinya, Norhayati Ariffin berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Amri sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m daripada rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Manakala Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November tahun lepas.

 

Link ke artikel di sini: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/16/penyiasat-tak-pasti-jika-pastor-koh-kini-dalam-tahanan-polis/