
Peguam keluarga desak Suhakam teruskan siasatan Pastor Koh
18th Feb 2018
SIASATAN awam Suhakam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh sepatutnya diteruskan kerana perkara yang dibawa ke mahkamah adalah berbeza dengan apa yang dibawa ke sidang siasatan itu, kata peguam Gurdial Singh Nijar.
Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi menentukan sama ada kes Koh iaitu isu kehilangan paksa dilakukan oleh pihak berkuasa, sementara perkara di mahkamah ialah berkenaan kehilangan pastor itu.
Siasatan terhadap kehilangan Koh dihentikan sementara selepas polis mengumumkan mereka mendakwa seorang pemandu Uber, Lam Chang Nam atas kesalahan menculik pastor itu.
Polis mengarahkan panel siasatan itu mengikut Seksyen 12 (3) Akta Suhakam 1999 yang menyatakan ketika siasatan dilakukan terhadap pelanggaran hak asasi seseorang individu, jika tuduhan itu menjadi perkara dalam mana-mana prosiding mahkamah, suruhanjaya itu perlu serta-merta menghentikan siasatan.
Gurdial, yang juga peguam kepada keluarga Koh, bagaimanapun berkata siasatan itu sepatutnya hanya dihentikan jika perkara berkenaan sama (di dalam siasatan dan prosiding mahkamah).
“Tidak boleh mahkamah dan siasatan memutuskan isu ini. Ia perlu salah satu yang memutuskan isu itu.
“Tetapi sekarang isu itu (kes Lam) dalam mahkamah dan tidak ada kena mengenai dengan sama ada pihak berkuasa terlibat atau tidak (dalam kehilangan Koh).
“Jika orang ini (Lam) didapati bersalah, adakah wujud sebarang pembabitan oleh pihak berkuasa?,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Gurdial berkata siasatan itu bukan tentang sama ada Lam melakukan kesalahan itu atau tidak, dan matlamat utamanya ialah untuk menentukan sama ada pihak berkuasa terbabit dalam penculikan Koh.
Beliau berkata, isu itu tidak dibawa ke mahkamah.
“Dalam kes kami, isi siasatan itu ialah kehilangan secara paksaan. Jika begitu, siapa yang bertanggungjawab terhadap kehilangan itu?
“Adakah mereka berada di peringkat atasan tahun perkara ini? Dan seberapa tinggi? Inilah siasatan kami.”
Gurdial berkata pada 6 Mac mereka akan memujuk suruhanjaya itu untuk meneruskan siasatan jika ia menerima hujahan mereka.
Kehilangan Koh diratapi isterinya, Susanna Liew, anak lelakinya Jonathan, 33, dan dua anak perempuan Esther, 32, dan Elizabeth, 22.
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki dalam tiga kenderaan jenis SUV warna hitam. Penculikan itu yang berlaku pada waktu siang, dikatakan kelihatan seperti terancang.
Waktu penggantungan siasatan kes Koh
Gurdial berkata penggantungan siasatan Koh dilakukan ketika dua anggota polis yang menjadi saksi penting dijangka memberikan bukti mereka.
Salah seorang daripadanya ialah timbalan pesuruhjaya Cawangan Khas yang membuat satu kenyataan di media tentang keperluan mengambil tindakan terhadap orang murtad.
“Bila kami tanya bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar tentang tuduhan itu (memurtadkan), dia kata tanya dia (timbalan pesuruhjaya). Jadi, dia saksi penting.
“Sama juga, kami mahu menyoal pegawai teknikal tentang CCTV yang tidak berfungsi dan maklumat berkaitan keadaan CCTV itu.
“Baru kami hendak sampai ke peringkat akhir, siasatan itu dihentikan.”
Gurdial berkata pihaknya sangat terkejut dan polis yang terbabit dalam proses itu tidak hadir untuk menjawab soalan dan menyelesaikan kebimbangan mereka.
“Bagaimana mereka tahu sama ada siasatan itu akan diteruskan atau tidak? Bagaimana mereka boleh mengandaikannya dan tidak datang?”
Polis perlu menjelaskan isu
Gurdial berkata terlalu banyak persoalan tidak berjawab kerana penggantungan itu, maka amat penting untuk polis menjelaskan isu berkenaan dan cara terbaik ialah menerangkannya ketika persidangan siasatan itu.
Beliau berkata jika penjelasan polis munasabah dan meyakinkan, keluarga dan masyarakat awam akan menerimanya.
“Tetapi sekarang, masyarakat mengesyaki polis dan ini tidak bagus untuk pasukan itu,” katanya. – 17 Februari, 2018.
Link to article found here:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/38179